Bagi tiap-tiap
seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari
belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah
Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah
menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan
kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan
apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan
melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-R'ad 13:11)
Kaum Saleh telah dibinasakan Allah dengan suara jeritan Jibril as.
Peristiwa ini terjadi pada hari Rabu. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kami menimpakan atas mereka suatu suara yang keras
mengguntut; maka jadilah mereka seperti rumput-rumput kering (yang dikumpulkan
oleh) yang mempunyai kandang binatang." (Al- Qomar: 31)
Dikisahkan bahawa pada suatu hari Nabi Saleh menyampaikan berita
bahawa pada masa itu akan lahir di tengah-tengah mereka seseorang yang menjadi
penyebab kehancuran kaum itu.
Maka para pemuka kaum itu mengadakan mesyuarat untuk membahas masalah
tersebut. Akhirnya mereka memutuskan, harus memisahkan diri daripada isteri
masing-masing, jika ada yang hamil dan melahirkan anak lelaki maka harus
dibunuh. Keputusan mereka itu dijalankan.
Salah seorang dari kaum mereka melahirkan seorang anak lelaki, namun
mereka tidak sampai hati untuk membunuhnya. Disebabkan keluarga tersebut belum
pernah mempunyai anak, anak itu bemarna Qodaron.
Sebanyak sembilan kaum telah membunuh anak lelaki mereka yang lahir.
Namun ketika mereka melihat Qodaron telah menjadi seorang pemuda, mereka merasa
menyesal kerana telah membunuh anak-anak mereka dahulunya. Kemudian mereka
berunding untuk membunuh Nabi Saleh as.
Mereka berkata: "Sebaiknya kita pergi keluar kota dahulu, kemudian
kita pulang dengan secara sembunyi, pada saat itu Nabi Saleh kita bunuh. Lalu
kita bersumpah dengan nama Allah dengan kerabatnya bahawa kita tidak membunuhnya
dan kita tidak tahu sama sekali tentang pembunuhan itu."
Ketika itu umur Qodaron lima belas tahun. Di saat mereka sedang minum
arak, mereka juga memerlukan air, sedangkan pada hari itu merupakan giliran unta
untuk mendapatkan air, mereka sudah puas mencari air di tempat yang lain, namun
tidak mereka temui. Kemudian Qodaron berkata: "Menurut pendapatku, lebih baik
kita bunuh sahaja unta Saleh, sebab kita dalam kesukaran air."
Kemudian mereka pun keluar dengan membawa sebilah pedang, mereka
bersembunyi di rumput-rumput di bawah kaki gunung. Pada saat giliran unta Saleh
ingin minum air, maka dengan segera Qodaron membunuh unta tersebut. Kemudian
mereka juga berusaha membunuh anak unta Nabi Saleh, maka anak unta itu pun
berlari ke arah gunung, maka dengan kuasa Allah gunung itu terbelah, dan
masuklah anak unta itu ke dalamnya.
Ketika Nabi Saleh as mengetahui peristiwa pembunuhan terhadap unta
mukjizatnya itu, maka ia berkata kepada kaumnya: "Anda semua boleh duduk di
rumah selama tiga hari, setelah itu akan datang seksaan kepada anda.
Tandatandanya adalah, pada hari pertama muka-muka kamu semua menjadi merah,
pada hari kedua menjadi kuning, pada hari ketiga menjadi hitam legam."
Di saat mereka melihat tanda-tanda seperti yang diucapkan oleh Nabi
Saleh itu betul, mereka pun berkata: "Mari kita bunuh Nabi Saleh seperti kita
membunuh untanya." Mereka kemudiannya menuju ke tempat tinggal Nabi Saleh.
Peristiwa itu terjadi pada hari Rabu. Kemudian Jibril as datang sambil memegang
tugu-tugu kota itu lalu digoncangnya dengan sekeras-kerasnya. Akhirnya dia
menjerit dengan sekuat-kuatnya sehingga mereka semua mati pada saat itu
juga.
Begitu gambaran betapa bahayanya minuman keras yang memabukkan ini.
Kerana sebab terbunuhnya unta mukjizat Nabi Saleh disebabkan minuman keras.
Fitnah Harut dan Maarut juga kerana minuman keras. Sebab terbunuhnya Nabi Yahya
kerana minuman keras. Kaum Nabi Nuh mengganggu Nabi Nuh kerana minuman keras.
Pembunuhan terhadap Usman ra juga disebabkan minuman keras. Pembunuhan terhadap
Sayyidina Husin juga kerana minuman keras."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar